fb fb fb fb fb

Malaysia kekal komited bantu Rohingya, seru penyelesaian lebih konkrit

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November - Malaysia terus memperkukuh peranannya di pentas ASEAN dan antarabangsa dalam menangani krisis kemanusiaan Rohingya.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu Rohingya kekal sebagai agenda utama dalam mesyuarat ASEAN, memandangkan nasib lebih sejuta pelarian masih tidak menentu terutama di kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh.

"Meskipun Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, negara tetap menempatkan pelarian Rohingya atas dasar perikemanusiaan, sementara penempatan semula ke negara ketiga diuruskan UNHCR," kata beliau ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

“Tidak sampai 5,000 pelarian yang berjaya dipindahkan ke negara ketiga,” jelas beliau, menyifatkan jumlah itu jauh lebih rendah berbanding proses penempatan semula pelarian Vietnam suatu ketika dahulu.

Jelas Datuk Seri Mohamad, kerajaan sentiasa berhubung dengan pentadbiran Myanmar yang memaklumkan sedang menjalankan proses pemutihan kewarganegaraan untuk mengenal pasti pelarian Rohingya yang layak kembali ke tanah air apabila keadaan mengizinkan.

Proses tersebut masih jauh daripada penyelesaian menyeluruh kerana situasi politik dan keselamatan di Myanmar belum stabil.

Mengulas cadangan mewujudkan tabung bantuan serantau seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Subang, Datuk Seri Mohamad berkata Malaysia telah menerima dokongan antarabangsa termasuk daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan.

“Usaha menangani kesengsaraan masyarakat Rohingya ini sedang dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kita mahu penderitaan mereka dapat dikurangkan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan keperluan tindakan lebih tegas oleh ASEAN agar krisis Rohingya dapat ditangani secara serantau dan mampan dalam jangka panjang.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ