KUALA LUMPUR, 4 November— Menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memastikan semua persediaan pengurusan bencana berada pada tahap siap siaga.
Antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk penyediaan logistik dan bekalan keperluan asas di depoh negeri, pemantauan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), serta latihan kesiapsiagaan bersama agensi penyelamat.
JKM turut menggerakkan pasukan sukarelawan SUKARELA dan Skuad Prihatin bagi membantu mangsa di lokasi terjejas.
Bagi memudahkan urusan orang ramai, aplikasi Info Bencana JKM (MyIBJKM) disediakan untuk pendaftaran kendiri mangsa, carian PPS berhampiran serta urusan daftar masuk dan keluar PPS.
Orang awam diingatkan agar peka dengan amaran cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa.