fb fb fb fb fb

Malaysia, Amerika Syarikat tandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas

Jabatan Peguam Negara (AGC)/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Oktober lalu, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, perjanjian tersebut bertujuan meliberalisasikan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara, di samping menjadi platform menyelesaikan isu tarif secara bersama.

"Di bawah perjanjian itu, Amerika Syarikat mencadangkan pengurangan tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus berdasarkan Executive Order 14257 yang ditandatangani oleh Presiden Donald J. Trump pada April lalu," menurut kenyataan AGC.

Rundingan perjanjian diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia, manakala Office of the United States Trade Representative (USTR) mewakili Amerika Syarikat.

Perjanjian tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua pihak mengesahkan pelaksanaan tatacara perundangan domestik masing-masing.

Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.

AGC menegaskan bahawa semua perlindungan dalam perjanjian tersebut dirangka bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara, selain memastikan Malaysia dan Amerika Syarikat terus mematuhi piawaian perdagangan antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN