fb fb fb fb fb

Kerajaan perkukuh perusahaan sosial luar bandar menerusi pelbagai inisiatif KUSKOP

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 3 November - Komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perusahaan sosial luar bandar, terus diterjemah melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata perusahaan sosial antara sektor utama kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras dengan usaha membangunkan sektor ketiga yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat serta kemampanan ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rural Social Enterprise Gathering 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Tambahnya, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) terus komited memperkukuh perusahaan sosial di seluruh negara melalui pelbagai program pembangunan kapasiti dan pengiktirafan.

Jelasnya, KUSKOP dan INSKEN bekerja keras untuk memastikan perusahaan sosial mempunyai alat, jaringan dan pengiktirafan yang diperlukan bagi berkembang secara mampan serta memberi impak sebenar kepada komuniti.

INSKEN telah melabur kira-kira RM3 juta bagi melaksanakan program pembangunan kapasiti, penajaan dan kerjasama strategik untuk memperkasa perusahaan sosial berasaskan komuniti luar bandar.

Langkah tersebut juga mencerminkan keyakinan kerajaan bahawa perusahaan sosial bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi ejen perubahan penting ke arah pembangunan inklusif dan mampan.

Beliau turut berkongsi kejayaan KUSKOP mengetuai delegasi Malaysia ke 'Social Enterprise World Forum' di Taipei baru-baru ini, yang turut disertai wakil Sabah dan Sarawak.

Melalui platform tersebut, Malaysia berjaya menonjolkan potensi dan semangat keusahawanan sosial yang setanding dengan pemain global, dengan membawa kisah kejayaan serta inovasi dari komuniti negara sendiri.

ROSLINA BINTI DIN