BONGAWAN, 10 Jun- Tiga deretan bangunan kedai dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Pekan Bongawan, Sabah pada awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada mangsa disahkan terlibat dalam kejadian tersebut, setakat ini.
"Panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian ini kira-kira pukul 5.38 pagi," kata kenyataan itu.
Kebakaran melibatkan tiga blok bangunan iaitu bangunan pertama terdiri daripada lapan pintu, bangunan kedua dan ketiga, masing-masing empat pintu, terbakar sepenuhnya.
Beberapa buah kenderaan turut dilaporkan musnah.
Operasi memadam kebakaran dilakukan 24 anggota dari Balai Bomba Kimanis, Papar dan Beaufort.