KUALA LUMPUR, 3 November - Gambar konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melalui lebuh raya ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, tular di media sosial.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkongsian itu mendapat pujian meluas kepada kelancaran, kebersihan serta keindahan infrastruktur negara.
"Baru-baru ini, semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, satu foto yang dimuat naik oleh Setiausaha Akhbar Presiden Amerika Syarikat, telah tular di media sosial. Foto berkenaan menunjukkan inovasi dan disiplin dalam pembangunan infrastruktur negara tidak terlepas daripada perhatian masyarakat antarabangsa.
"Lebih penting lagi, menjadi dorongan untuk kita terus berusaha mencapai tahap yang lebih baik. Kita bangga dengan apa yang telah dicapai," katanya ketika berucap pada Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025.
Rangkaian jalan raya di Malaysia kini melebihi 260,000 kilometer dengan memiliki sistem penyelenggaraan jalan raya yang terbaik di rantau ASEAN.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementerian telah melancarkan inisiatif MyJalan, iaitu sebuah platform nasional berasaskan penyertaan rakyat yang membolehkan orang awam menyalurkan maklum balas serta memainkan peranan dalam memastikan jalan raya di seluruh negara sentiasa dalam keadaan baik. ##