KUALA LUMPUR, 3 November - Sistem pengauditan luaran terhadap syarikat konsesi lebuh raya, dijangka dilaksana mulai awal tahun depan.
Kesediaan itu, sebagai langkah memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan mengikut piawaian terbaik.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata melalui inisiatif tersebut, setiap syarikat terlibat dalam penyelenggaraan jalan akan diaudit secara berkala juruaudit luar, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada audit dalaman oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsesi berkenaan.
"Tahun depan juga, banyak syarikat konsesi akan tamat tempoh kontrak mereka. Kini, kawasan-kawasan tertentu telah dalam proses Request for Proposal (RFP) semula. Seperti yang saya umumkan sebelum ini, satu perkara penting yang turut dimasukkan dalam syarat baharu ialah keperluan untuk melaksanakan sistem pengauditan.
"Melalui sistem ini, syarikat-syarikat yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan akan diaudit dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap kerja dilaksana dengan kualiti dan piawaian terbaik," katanya pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025.
Beliau turut memaklumkan konvensyen ini bagi menekankan kepentingan aspek penyelenggaraan lebuh raya dan jalan raya di Malaysia, bukan hanya tertumpu kepada aspek pembinaannya semata-mata.