fb fb fb fb fb

Perjanjian dua hala lonjak Malaysia sebagai hab CCUS Asia Pasifik

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November - Pemeteraian perjanjian dua hala dengan negara-negara asing dijangka dapat merangsang aliran masuk pelaburan dan membantu mengurangkan kos pembangunan infrastruktur hab industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerjasama dengan negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun akan meletakkan Malaysia sebagai hab CCUS di rantau Asia Pasifik.

"Pemeteraian perjanjian dua hala dengan negara luar seperti Jepun, Republik Korea dan Singapura, berupaya memangkin kemasukan pelaburan hijau untuk membantu menyerap kos pembangunan infrastruktur hab CCUS di Malaysia.

"Ini akan menonjolkan Malaysia sebagai hab CCUS di rantau Asia Pasifik dan seterusnya menyumbang kepada wujudnya sektor perniagaan baharu seperti penawaran perkhidmatan pemerangkapan dan penyimpanan CO2 secara kekal," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Mersing Muhammad Islahuddin Abas mengenai langkah konkrit kerajaan dan komitmen untuk membangunkan industri CCUS sebagai sumber hasil negara yang baharu.

Hanifah Hajar berkata kerajaan akan melaksanakan projek perintis bagi penangkapan CO2 dalam industri besi dan keluli di Kemaman, Terengganu, yang akan berfungsi sebagai rujukan untuk menilai potensi CCUS sebagai sebahagian daripada usaha penyepaduan karbon industri.

“Kerajaan juga merancang untuk membangunkan hab CCUS di lokasi strategik bagi membina ekosistem lengkap yang boleh menjana manfaat limpahan ekonomi di kawasan tersebut,” tambahnya.

Malaysia dianggarkan mempunyai kapasiti penyimpanan karbon sebanyak 13.3 gigatan, antara yang terbesar di rantau ini, dan tapak penyimpanan yang ada boleh digunakan untuk menampung CO2 yang ditangkap dari sumber asing.

Beliau berkata, pengimportan CO2 dari negara lain boleh membantu mengurangkan kos tinggi pembangunan infrastruktur hab CCUS.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN