KLANG, 3 November - 118 usahawan mikro di Selangor menerima geran bawah program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) bagi membantu memperkukuh dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, masing-masing menerima bantuan peralatan mengikut keperluan perniagaan dengan nilai maksimum RM30 ribu.
Beliau menjelaskan, pemberian geran berkenaan bukan sekadar memenuhi permintaan usahawan, tetapi juga mampu menjana ekonomi komuniti setempat.
"Kita tidak mahu membantu usahawan ini untuk short term (jangka pendek). Kita bagi barang lepas 5 tahun bisnes (perniagaan) dah tiada. Kalau boleh kita nak bagi barang, tuan puan manfaatkan dan perniagaan tuan puan boleh sustain (kekal) kalau boleh selama lamanya dan diwarisi oleh anak cucu tuan puan nanti. Ini yang kerajaan negeri hasratkan nanti Insya-Allah, " katanya ketika berucap pada majlis penyampaian plak kepada penerima DUMS di Wyndham Acmar, di sini, hari ini.
Program DUMS yang melibatkan peruntukan RM2 juta merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan, perkhidmatan dan kraf.
Diperkenalkan sejak tahun 2015, inisiatif itu bertujuan membantu peniaga kecil meningkatkan produktiviti serta menampung keperluan modal perniagaan.