fb fb fb fb fb

Wakil UPSI digerakkan bantu beri sokongan emosi, agih bantuan kewangan

Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 10 Jun - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menggerakkan wakil ke lokasi-lokasi berkaitan bagi memberi sokongan emosi serta bantuan kewangan kepada keluarga dan mangsa tragedi nahas bas di Gerik yang meragut 15 nyawa pelajarnya.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi dan Korporat UPSI, Prof. Dr. Izwan Shahril, pihak universiti telah bertindak pantas untuk terus berhubung secara langsung bagi memastikan semua keperluan diuruskan dengan baik.

"Kita terus pergi ke tiga lokasi, Hospital Gerik, Taiping dan di Ipoh. Alhamdulillah, wakil UPSI ada di semua lokasi bersama waris untuk bantu urusan mangsa dan yang berkaitan," katanya.

Jelasnya, setiap fakulti di UPSI telah melantik pegawai bertanggungjawab (PIC) untuk menyelaras bantuan kepada mangsa berdasarkan senarai pelajar terlibta. Malah pensyarah dan kakitangan turut terlibat secara langsung dalam membantu keluarga mangsa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita secara talian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

UPSI akan menyalurkan bantuan kewangan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, kerajaan negeri serta beberapa badan kebajikan, manakala perkhidmatan kaunseling digerakkan di ketiga-tiga lokasi terlibat.

Mengulas reaksi ibu bapa, Profesor Izwan berkata, waris mangsa menyambut baik bantuan dan tindakan segera universiti, malah ramai pelajar yang tampil membantu dan mengiringi jenazah rakan mereka.

Bagi menghormati situasi semasa, beberapa kelas turut dilaksanakan secara dalam talian dengan pengecualian turut diberikan kepada pelajar yang terlibat secara langsung.

"Ada kelas yang dijalankan secara online dan ada yang diberi pengecualian. Kita faham ramai pelajar dan pensyarah juga terlibat secara langsung," tambahnya.

Profesor Izwan turut merakamkan penghargaan kepada pihak media, agensi kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas doa dan sokongan terhadap keluarga UPSI dalam menghadapi detik sukar ini.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN