fb fb fb fb fb

Lawatan Negara Sultan Ibrahim perkukuh hubungan strategik Malaysia–Arab Saudi

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

RIYADH, 3 November - Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ke Arab Saudi yang bermula hari ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hal ehwal Islam.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman, berkata lawatan berkenaan akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

“Lawatan ini akan memperkukuh hubungan sedia ada dan dalam masa sama membuka pintu kepada usaha sama baharu antara kedua-dua negara.

“Kerjasama baharu yang dapat dilihat ialah dalam aspek pelaburan dan perdagangan, memandangkan ekonomi Arab Saudi kini berkembang pesat di bawah pelaksanaan Visi 2030,” katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan pesat ekonomi Arab Saudi memberi peluang luas kepada pelabur dan syarikat Malaysia untuk meneroka pelbagai sektor baharu di negara berkenaan.

Lawatan rasmi tersebut turut menerima layanan istimewa daripada kerajaan Arab Saudi, yang menganggap kehadiran baginda sebagai penghormatan besar, kali terakhir diberikan kepada Malaysia pada tahun 1984.

Sepanjang lawatan, Sultan Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Istana Yamamah, yang antara lain akan membincangkan isu berkaitan urusan haji, umrah dan hal ehwal Islam.

Arab Saudi kini merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM44.7 bilion setakat Oktober ini.

0311 NSL LAWATAN NEGARA AGONG KE ARAB SAUDIDuta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE