fb fb fb fb fb

Malaysia kemudi ASEAN penuh keyakinan di bawah panji keamanan

Foto PMO

KUALA LUMPUR, 2 November - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, berjaya menakhodai blok serantau itu dengan penuh keyakinan serta mengemudi rantau ini di tengah-tengah perubahan dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah panji perpaduan dan keamanan, Malaysia telah menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan semangat ASEAN terus subur, dipandu kebijaksanaan, rasional serta tujuan bersama.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menutup tirai Kepengerusian Malaysia dengan sejarah yang terpahat di Kuala Lumpur, daripada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand hinggalah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0,” menurut beliau sambil berkongsi sebuah video sorotan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, kekuatan sebenar ASEAN adalah berpaut pada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara negara anggota.

"Tatkala teraju ini diserahkan kepada Filipina, Malaysia menatap kembali perjalanan ini dengan rasa syukur. Tidak semua kebuntuan terurai, namun setiap langkah berani telah melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan. Malah dunia telah menyaksikan, inilah wajah sebenar Malaysia," kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kemesraan yang dihulurkan kepada sahabat-sahabat serantau sepanjang tempoh kepengerusian negara dalam blok itu yang mencabar.

EZA YUSMAWATI YAACOP