IPOH, 10 Jun - Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, di Gerik, akan direman sejurus dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, lelaki berusia 40 tahun itu kini masih menerima rawatan di Hospital Taiping bersama kelindannya yang berusia 54 tahun.
“Sebaik sahaja rawatan selesai, pihak polis akan memohon perintah reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi RTM.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, 15 mangsa yang cedera dalam kejadian masih dirawat di tiga hospital. 10 orang di Hospital Taiping, dua di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan tiga di Hospital Baling, Kedah.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, selebihnya telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan awal.
Bagaimanapun beberapa mangsa perlu menjalani rawatan susulan sebagai pesakit luar, bergantung kepada tahap kecederaan masing-masing.
Pihak kesihatan negeri akan terus memantau perkembangan semua mangsa bagi memastikan mereka menerima rawatan susulan yang sewajarnya.