NILAI, 3 Ogos - Tumpuan terhadap sektor kesihatan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai langkah signifikan bagi memperkukuh sistem kesihatan negara.
Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Hafiz Jaafar menyambut baik fokus kerajaan terhadap penambahbaikan infrastruktur kesihatan khususnya hospital lama dan klinik daif termasuk di kawasan luar bandar.
"Reformasi ini telah memberi perhatian kepada dua struktur utama sistem kesihatan kita iaitu sistem di utama dan juga berkaitan. Kalau kita tahu hospital-hospital yang dijadikan untuk naik taraf seperti contoh Hospital Sultanah Aminah, Hospital Tuanku Jaafar merupakan hospital-hospital lama yang boleh dikatakan sangat padat.
"Dengan adanya usaha untuk menaik taraf hospital-hospital ini, kita yakin perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan lebih baik dan berkesan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Dr Mohd Hafiz Jaafar
Dalam pada itu, transformasi ke arah pendigitalan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan rekod kesihatan mampu memacu perkhidmatan kesihatan lebih efisien dan maju.
Pelaburan besar dalam sektor kesihatan pada hari ini bakal mengurangkan beban ekonomi negara pada masa hadapan, terutama dalam menangani penyakit tidak berjangkit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), mengumumkan sebanyak RM40 billion diperuntukkan termasuk pembangunan dan naik taraf fasiliti kesihatan serta perluasan penggunaan AI dalam sektor berkenaan di seluruh negara.