KUALA LUMPUR, 10 November - Pembinaan semula Politeknik Kota Belud yang tertangguh, dijangka siap menjelang 2031.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika menyatakan komitmen itu memaklumkan projek berkenaan berupaya membawa perubahan bermakna kepada rakyat.
"Dalam masa sama meningkatkan kemahiran belia serta memacu pertumbuhan industri baharu di wilayah itu", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Dr Zambry, terdahulu merasmikan majlis perletakan batu asas politeknik itu, yang bakal memainkan peranan strategik dalam membina ekosistem bakat serta peluang pekerjaan baharu.
Teknologi maklumat berteraskan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi pertanian pintar merupakan tiga bidang berimpak tinggi yang sedia diberi tumpuan.