KUALA LUMPUR, 10 November - Peranan ibu bapa dan masyarakat terus diperkukuh dalam usaha mempertingkat kawalan digital terhadap golongan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bertujuan memastikan kanak-kanak didedahkan dengan penggunaan teknologi secara selamat selari dengan rangka tindakan serantau ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak daripada Eksploitasi & Penderaan Dalam Talian (RPA COEA).
“Kita akan mengadakan Forum ICT bersama ASEAN yang memfokuskan kepada usaha membantu masyarakat, khususnya ibu bapa, dalam melindungi kanak-kanak serta memanfaatkan dunia digital untuk kebaikan.
"Melalui forum ini, kita juga ingin menekankan kepentingan pemantauan supaya ibu bapa dapat memastikan anak-anak berada di landasan yang betul dalam penggunaan teknologi," katanya selepas diwawancara secara langsung dalam rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri, Kota Media.
Menurutnya, usaha menjaga ruang digital yang selamat terhadap golongan itu juga menepati komitmen berterusan Kepengerusian ASEAN Malaysia
Selain menggalakkan kerjasama serantau bagi memastikan suara dan hak kanak-kanak sentiasa jadi keutamaan dalam polisi serta inovasi digital.
ASEAN ICT Forum on Child Online Protection berlangsung selama dua hari bermula 18 dan 19 November ini.