PUTRAJAYA, 10 November - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjunjung tinggi dan menyokong penuh titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegaskan pentingnya memelihara perpaduan nasional dengan menolak sebarang bentuk sentimen kaum serta agama yang boleh menggugat keharmonian rakyat.
Menurut kenyataan, beliau memaklumkan titah baginda itu selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat, kemanusiaan dan keterangkuman sebagai asas kemajuan negara.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut seruan baginda agar kemerdekaan, kemakmuran negara dan semangat permuafakatan yang diasaskan sejak kemerdekaan terus dipertahankan dengan menolak segala bentuk perbalahan dan ujaran yang boleh menjejaskan perpaduan nasional," katanya menerusi kenyataan itu.
Justeru, pihaknya menegaskan kepentingan mengamalkan adab berbeza pandangan secara berhemah yang berlandaskan ilmu serta akhlak sebagai asas budaya dialog dan muafakat dalam masyarakat majmuk.
Beliau turut menegaskan komitmen Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memperkukuh peranan agama sebagai pemangkin perpaduan nasional dan tunjang Malaysia MADANI demi memastikan negara kekal aman, harmoni dan makmur.