fb fb fb fb fb

Cemara Seni Malaysia harumkan nama negara di pentas antarabangsa

Kontinjen Cemara Seni Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa menerusi penyertaan dalam dua festival kebudayaan berprestij di Eropah/RTM

SEPANG, 11 November – Kontinjen Cemara Seni Malaysia di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa menerusi penyertaan dalam dua festival kebudayaan berprestij di Eropah.

Pasukan tersebut menyertai 46th International Competition and Folklore, Dance and Music Festival “Prague Stars” 2025 di Prague, Republik Czech serta VIII International Folklore Festival “Ethno Fest Budapest” di Hungary.

Di Festival “Prague Stars” 2025, kumpulan berkenaan meraih kejayaan membanggakan apabila membawa pulang dua Anugerah Crystal Grand Prix, tujuh kategori tempat pertama, serta dua kategori tempat kedua.

Kontinjen itu terdiri daripada 56 pelajar dan guru yang mewakili JPN Selangor, JPN Pahang dan JPN Kelantan, menampilkan persembahan penuh warna-warni yang mempamerkan keindahan seni warisan negara melalui Gamelan Creative, Dikir Fusion, Wayang Kulit dan Zapin Fusion.

Guru Penyelaras, Mohd Zulhafiz Mohd Zubir berkata persembahan bertenaga itu bukan sahaja memukau juri antarabangsa, malah membuktikan bahawa seni budaya Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia.

1111 SEL CEMARA SENI HARUMKAN MALAYSIA 2Mohd Zulhafiz Mohd Zubir/RTM

“Selepas ini, seperti biasa, program ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang. Kami juga akan terus mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar yang berminat.

"Harapan saya, anak-anak yang menyertai program ini bukan sahaja mendapat pengalaman berharga dan kenangan terbaik dalam hidup mereka, tetapi juga memahami bahawa penyertaan ini lebih daripada sekadar pertandingan kerana terdapat pelbagai aktiviti lain yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Isnin.

Salah seorang peserta, Abdul Jalil Nur Abdul Hamid, meluahkan rasa teruja atas kejayaan sulung mereka.

1111 SEL CEMARA SENI HARUMKAN MALAYSIA 3Abdul Jalil Nur Abdul Hamid/RTM

“Saya betul-betul gembira sebab ini kali pertama masuk pertandingan dan terus menang. Memang pencapaian terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nur Airisha Sofiya Ahmad Zahri turut berkongsi rasa bangga dapat membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

1111 SEL CEMARA SENI HARUMKAN MALAYSIA 4Nur Airisha Sofiya Ahmad Zahri/RTM

“Saya rasa bangga dapat bawa nama Malaysia. Saya harap selepas ini dapat belajar lebih mendalam tentang seni supaya budaya ini terus kekal hidup di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, di Budapest, kumpulan Cemara Seni Malaysia terus mencuri perhatian penonton antarabangsa menerusi persembahan yang menggambarkan semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN