KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) di seluruh negara bermula 4 Ogos hingga 12 Oktober tahun ini, sebagai langkah meningkatkan liputan vaksinasi serta mengukuhkan imuniti kelompok dalam kalangan kanak-kanak.
Pelaksanaan itu menyasarkan kanak-kanak berumur 6 hingga 59 bulan, iaitu mereka yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.
Menurut KKM, penyakit Measles dan Rubella merupakan jangkitan yang sangat mudah merebak dan boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk radang paru-paru, radang otak, sawan dan kematian.
"Sebanyak 3,791 kes Measles dilaporkan pada tahun 2024, meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Tiga kematian turut direkodkan membabitkan kanak-kanak bukan warganegara yang tidak pernah menerima vaksin," menurut kenyataan tersebut.
Walaupun liputan imunisasi tahunan melebihi 95 peratus, hanya 62 peratus daerah yang mencapai kadar liputan vaksin MMR melebihi paras tersebut pada 2024. Ini menjadikan kempen tambahan penting untuk mencapai sasaran perlindungan kelompok.
Menerusi program itu, suntikan vaksin tambahan diberikan secara percuma melalui janji temu di aplikasi MySejahtera, atau secara jumpa terus (walk-in) ke klinik kesihatan kerajaan.
Pasukan kesihatan turut ke sekolah, pusat komuniti dan kawasan pedalaman bagi memastikan tiada yang tercicir.
Sementara itu, bagi Sabah, dos tambahan Measles telahpun diberikan kepada bayi seawal usia enam bulan sebagai langkah pencegahan awal.
Pihak KKM menyeru ibu bapa dan penjaga agar mengambil peluang berkenaan bagi melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius yang boleh dicegah melalui vaksinasi.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berhampiran.