KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Peserta dari negara Gambia dan Maghribi membuka tirai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di ibu negara.
Abdallah Jobe, 22 tahun , mewakili Gambia menjadi peserta pertama memperdengarkan bacaan diikuti dengan peserta dari Maghribi Fatima Zahra As-Safar.
Terdahulu, Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzullkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Peserta dari negara Iran, Singapura dan Algeria antara 7 peserta yang akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada Ahad.
MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos tampil dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’ serta menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.
Malaysia diwakili Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi kategori Tilawah manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) untuk Hafazan.
Pemenang akan menerima wang tunai RM40,000, naib johan (RM30,000) dan tempat ketiga (RM20,000) serta barang kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).