fb fb fb fb fb

Pembelian pesawat Boeing strategi perniagaan MAG, tidak libat wang rakyat

Tangkap layar hantaran X Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) merupakan keputusan perniagaan strategik yang dirancang lebih awal dan dibiayai menggunakan dana syarikat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantaran X memaklumkan, rancangan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac 2025.

Ia sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan sebarang tarif baharu terhadap barangan import.

"Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila AS mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.

"Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli barang dari negara itu. Jadi AS cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25 peratus," menurut hantaran itu.

Sehubungan itu, Malaysia mengambil peluang itu dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing berkenaan.

"Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif," tambah kenyataan itu.

Pendekatan itu menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga merupakan pembeli besar produk mereka dan pada akhirnya meyakinkan negara itersebut untuk menurunkan tarif eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

"Strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara," menurut hantaran itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI