GUA MUSANG, 2 Ogos - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan pemindahan lima ekor gajah liar yang berjaya ditangkap di Kampung Lalang, Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan secara berperingkat, dalam tempoh tiga hari sejak semalam.
Operasi yang dilaksanakan Perhilitan bermula 24 Julai telah berjaya menangkap seekor gajah betina pada 27 Julai dan empat ekor lagi pada 31 Julai lalu.
Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Lalang, Mohamad Zainuddin Busrah berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada 20 Julai lalu berkenaan gangguan gajah di penempatan terbabit.
Katanya, seekor gajah liar betina diberi nama ‘Mek Tie’ dan anaknya gajah jantan yang bernama ‘Anak Ouk’ berjaya dipindahkan dalam operasi bermula pukul 3.00 petang semalam.
"Yang gajah semalam yang ibu lebih kurang 14 inci, berat badan lebih kurang dua tan, anak lebih kurang 18 kilogram (kg). Hari ini kita pindahkan dua ekor lagi gajah betina.
"Gajah lebih kurang saiz tapak kaki hadapan 14 inci dan gajah kedua hari ini 15 inci. Umur lebih kurang 20-25 tahun. Umur anak yang semalam kemungkinan setahun. Hari ini umur lebih kurang 20-25 tahun juga", katanya ketika ditemui pemberita dekat Kampung Lalang, Kuala Betis hari ini.
Sementara itu, operasi pemindahan gajah terbabit memberi kelegaan kepada penduduk kampung yang berdepan gangguan gajah liar sejak sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kuala Betis, Shamsul Anuar Jusoh merakamkan penghargaan kepada pihak Perhilitan atas usaha menangkap dan memindahkan haiwan tersebut.
"Saya bagi pihak orang kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak perhilitan kerana bertungkus lumus selama empat hingga lima hari ini bagi menangkap gajah-gajah liar yang menceroboh di kawasan kami. Jadi saya wakil orang kampung berasa amat terharu kerana separuh gajah liar ini telah ditangkap", katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Firdhaus Lokman pula menyifatkan kehadiran pantas pasukan operasi memberi jaminan keselamatan kepada penduduk, khususnya pelajar sekolah dan penoreh getah.
"Saya suka Perhilitan cepat laksanakan operasi. Buat laporan dan operasi dilaksanakan pantas. Pelajar sekolah lalu pun tidak ada masalah. Dia buat operasi ini tidak ada masalah, orang menoreh, orang bekerja tidak ada masalah semua. Insya-Allah selesai. Kita berterima kasih kepada Perhilitan sebab datang awal", katanya.
Operasi itu membabitkan 26 anggota daripada Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan Perhilitan Terengganu. Operasi pemindahan gajah liar itu turut dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Cheri dan Rambai.