BESUT, 10 Jun - "Tiada lagi penghibur dalam keluarga kami".
"Kami hilang tempat bermanja".
Itu luahan adik beradik Nor Ayuni Maslan, 21 tahun, antara mangsa nahas insiden penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
Mereka menyifatkan adik bongsu itu pengganti arwah ibu kerana setiap kemahuan mereka untuk menjamu pelbagai juadah, pada setiap hujung minggu dan hari raya sentiasa dipenuhi.
Nor Ayuni juga yang mengurus bapanya Maslan Abd Rahman, 58 tahun yang mengalami masalah kesihatan.
Malah, kejutan dilakukan tujuh beradik lain bersempena sambutan hari lahir Nor Ayuni pada 6 Jun lalu masih kekal terpahat dalam ingatan.
Bagaikan mimpi, adik bongsu dari lapan beradik itu pergi buat selamanya.
Kakak Allahyarham Nor Azlida Maslan berkata,"Macam tak percaya kami baru sahaja menyambut hari jadi dia, semua gembira...malam tu juga dia kena...rasa menyesal pun ada. Saya reda. Semalam tengok wajah dia senyum manis."
Menurut abang Allahyarham Ahmad Azizol Maslan pula tidak menyangka hari tersebut merupakan sambutan hari lahirnya yang terakhir.
"Malam itu sebenarnya hari jadi dia...memang rancang nak sambut hari jadi dengan adik, tapi tak tahu pula hari jadi terakhir buat dia...dia yang paling manja dengan kakak dan saya. Banyak juga dia berkongsi bersama keluarga." kata abangnya.
Sementara itu Guru Seni Visual Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong Asmaq Othman menyifatkan Nor Ayuni seorang yang ringan tulang kerana sering membantunya dan guru lain.
Allahyarham juga seorang yang gemar berkongsi ilmu dengan rakan sekelas.
"Saya rasa tak sangka benda ini terjadi. Anak-anak saya pun rapat dengannya. Mereka tanya kenapa Kak Yuni yang meninggal. Saya kata Allah lebih sayangi dia. Pemergian dia seperti dicemburui...ramai orang solat. Saya rasa lega sebab dia pergi dalam keadaan baik."katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang di sini pada 4.10 pagi tadi.