fb fb fb fb fb

KKR nafi jalan berlubang jadi punca nahas bas di Gerik

Foto RTM

TUARAN, 10 Jun - Susulan nahas jalan raya membabitkan kematian 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak semalam.

Kementerian Kerja Raya menafikan dakwaan tular di media sosial, kononnya kemalangan membabitkan bas dinaiki pelajar terlibat berpunca daripada jalan berlubang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu, berdasarkan pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Hilir Perak, mengesahkan tiada kerosakan jalan seperti didakwa.

"Saya ingin menyatakan tiada tayar yang pecah dan tiada jalan berlubang. Kita telah tampal lubang pada 6 Jun dan kejadian itu beraku pada 9 Jun. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk sebarkan berita tidak benar dalam media sosial yang membangkitkan rasa tidak puas hati khasnya pada JKR yang telah membaiki jalan," katanya.

Tambah beliau, satu Pasukan Petugas Khas (Task Force) turut ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut secara menyeluruh.

Berdasarkan rakaman papan pemuka kereta yang berada di belakang bas terbabit menunjukkan, bas tersebut telah memotong dengan kelajuan tinggi ketika melalui kawasan selekoh yang sudah pun dilengkapi papan tanda amaran, termasuk papan tanda merah putih yang diletakkan sebagai langkah keselamatan.

Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa kementerian akan terus berusaha memastikan setiap jalan persekutuan diselenggara dengan baik serta berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Beliau ditemui media bersempena lawatan kerja rasmi ke projek persekutuan di Sekolah Kebangsaan Pekan Tenghilan,Tuaran, Sabah.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN