fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh usaha tangani isu pelajar, belia tercicir dalam komuniti ASEAN

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menghadiri seminar ASEAN Out-of-School Children and Youth (OOSCY)/Foto KPM

KUALA LUMPUR, 1 November - Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam menangani cabaran sistematik dan kompleks berkaitan keciciran pendidikan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan belia terpinggir di rantau ASEAN.

Usaha itu dizahirkan melalui penganjuran Seminar ASEAN Out-of-School Children and Youth (OOSCY) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia.

"Ia adalah tindakan susulan daripada persetujuan Langkawi Joint Statement yang merupakan hasil persidangan meja bulat antara Menteri Pendidikan ASEAN pada bulan Jun lalu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

KPM berkata, tumpuan utama seminar adalah kepada strategi inovatif yang berasaskan data dan bukti untuk menangani isu kanak-kanak dan belia yang tidak bersekolah.

Menurut KPM, seminar itu menghimpunkan lebih 100 peserta dari negara anggota ASEAN, Mongolia, China, India serta rakan strategik antarabangsa seperti UNICEF, UNESCO, OECD dan SEAMEO.

"Tumpuan utama ialah strategi inovatif berasaskan data dan bukti bagi menangani isu keciciran murid, termasuk memperkukuh kerjasama serta penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti data dan menyokong program intervensi berimpak tinggi," katanya.

Seminar itu turut dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang melancarkan Sistem Pengesanan Murid KPM-SiPKPM.

"Sistem yang menggunakan analitik ramalan ini digunakan untuk mengenal pasti laluan pembelajaran dan kerjaya yang diperibadikan
bagi murid berisiko atau yang telah tercicir.

"Ini sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap strategi pengekalan dan pengintegrasian
semula berasaskan data," katanya.

Selain itu, aktiviti Children’s Co-Lab turut diadakan bagi memperkasakan suara dan pandangan murid dalam pembangunan dasar pendidikan.

Penganjuran seminar itu menegaskan iltizam Malaysia dan negara ASEAN untuk memastikan setiap kanak-kanak serta belia mendapat akses kepada pendidikan yang inklusif, berkualiti dan saksama tanpa ada yang tercicir.

GRACE AISYAH KEDAYAN