KUALA LUMPUR, 2 Januari — Prasarana Malaysia Berhad mencatat rekod tertinggi apabila merekodkan lebih 1.54 juta perjalanan penumpang rel dan bas sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026.
Jumlah itu direkodkan pada 31 Disember 2025, meningkat 0.76 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi sejak penubuhannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata kejayaan itu disumbang oleh kecekapan penyelarasan operasi dan pengurusan kawalan orang ramai melibatkan kira-kira 3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di sekitar Lembah Klang.
"Daripada 1.29 juta perjalanan penumpang rel yang direkodkan, Laluan Kajang mencatat jumlah tertinggi dengan 396,141 penumpang, diikuti Laluan Kelana Jaya (321,381), Laluan Ampang/Sri Petaling (246,885), Laluan Putrajaya (234,158) dan perkhidmatan Monorel (90,748).
"Bagi perkhidmatan bas pula, termasuk Rapid On-Demand (ROD), sebanyak 251,737 perjalanan penumpang direkodkan, melibatkan Rapid KL (183,944 penumpang), Rapid Penang (48,002) dan BRT Sunway (19,791)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tambaha beliau, keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan rel dan bas beroperasi dengan lancar, selamat dan selesa walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak pengurusan kawasan tumpuan sambutan turut membantu memastikan aliran trafik terkawal dan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual walaupun keadaan trafik sesak di pusat bandar.
