fb fb fb fb fb

Lebih RM20 juta naik taraf jalan tapak warisan dunia George Town

FOTO FB CHOW KON YEOW

GEORGE TOWN, 1 November - Pulau Pinang memperuntukkan RM24.73 juta bagi menaik taraf jalan di sekitar tapak warisan dunia UNESCO George Town.

Penaiktarafan melibatkan kawasan sekitar Lebuh Pantai, Pesara King Edward, Pengkalan Weld dan Gat Lebuh Chulia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pelaksanaan projek tersebut melalui Projek Nature-Based Climate Adaptation Programme for the Urban Areas of Penang Island (PNBCAP).

Tambahnya, ia juga merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan dirancang adalah mampan serta menjamin kelestarian alam sekitar.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk memastikan pelaksanaan projek-projek berkenaan dapat mengurangkan impak peningkatan suhu akibat perubahan iklim.

"Suhu di bandar raya, khususnya, boleh menjadi sangat panas terutamanya pada waktu petang sekiranya tiada penanaman pokok dan elemen hijau dilakukan.

"Namun, melalui penggunaan bahan-bahan serta pendekatan kejuruteraan yang dicadangkan dalam projek ini, kita dapat melaksanakan intervensi bagi mengurangkan kesan kepanasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran bagi Projek Menaiktaraf jalan di kawasan tersebut melalui PNBCAP di sini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dan Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Ir A. Rajendran.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM