fb fb fb fb fb

Peperiksaan SPM 2025 bermula Isnin, melibatkan 413,000 calon

413,372 calon bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November– Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan bermula Isnin ini, 3 November hingga 23 Disember, melibatkan 413,372 calon di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dijalankan dari 3 hingga 6 November, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris berlangsung dari 10 hingga 13 November.

Ujian Amali Sains pula akan diadakan di antara 17 hingga 19 November, diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 20 November, sebelum peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember.

Bagi memastikan kelancaran pengendalian peperiksaan, seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik di seluruh negara.

KPM turut menasihatkan semua calon supaya merujuk serta memuat turun jadual waktu peperiksaan SPM 2025 menerusi portal rasmi Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.

Kenyataan itu turut mengingatkan calon untuk membawa dokumen pengenalan diri serta Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“KPM sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana dan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI),” menurut kenyataan tersebut.

Pelbagai langkah dan mekanisme telah disediakan termasuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani sebarang situasi tidak dijangka.

“Calon yang terlibat atau terkesan akibat bencana juga diminta segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) atau JPN di seluruh negara,” katanya.

KPM menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan SPM 2025 berjalan dengan teratur dan lancar di semua pusat peperiksaan.

SITI NOORAIN ABDULLAH