
KUALA LUMPUR, 8 Mei -Skuad sepak takraw kebangsaan menyasarkan mara ke tiga pentas final bagi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung pada 16 hingga 23 Mei ini.
- PSM percaya aksi di laman sendiri jadi pemangkin; tetap berwaspada dengan kebangkitan Thailand dan melakukan rombakan pemain untuk kukuhkan pasukan.
- Jurulatih: rombakan posisi dan penambahan pemain untuk acara kuadran; penyesuaian taktikal diperlukan bagi tingkatkan prestasi berbanding Sukan SEA.
- Majlis pelancaran perkenal tiga warna jersi dan 12 pemain; latihan akhir di ASM minggu depan fokus teknik, pertahanan dan koordinasi.
Presiden Persatuan Sepak Takraw (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi pemangkin kejayaan meskipun berdepan cabaran sengit daripada musuh tradisi, Thailand dan tetap berwaspada terhadap kebangkitan mereka.
“Kerisauan tetap ada dengan jangkaan kebangkitan Thailand dan kita bersedia dengan melakukan persiapan rapi termasuk beberapa rombakan pemain yang dilihat mampu memperkukuh kekuatan pasukan dengan barisan pemain yang lebih baik berbanding sebelum ini dan kita sentiasa mengikuti perkembangan Thailand,” katanya kepada pemberita, selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Kebangsaan ke Piala Dunia Sepak Takraw 2026, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata, bagi memperkasakan cabaran dalam acara Kuadran, rombakan pemain diadakan dan penyesuaian taktikal dilakukan bagi memperkukuh kekuatan pasukan.
“Bagi acara kuadran, kita ada membuat sedikit rombakan posisi dan juga penambahan pemain. Kita merasakan pasukan kuadran ini perlu memperkemaskan lagi prestasi pemain-pemain berbanding di Sukan SEA tempoh hari, kerana kali ini kita perlu tingkatkan lagi prestasi apabila beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut turut menampilkan tiga warna jersi berlainan iaitu kuning, putih dan hitam yang akan digunakan semasa pertandingan, 12 orang pemain diperkenalkan semasa majlis tersebut berlangsung.
Latihan akhir skuad takraw kebangsaan akan berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASM) bermula minggu depan dengan penekanan terhadap aspek teknikal, pertahanan serta koordinasi pemain.