KLANG, 3 November - Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Makan Malam Gala PERDASAMA 2025 malam tadi.
Anugerah itu disampaikan oleh Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa Tun Mohd Ali dalam memperkasakan komuniti usahawan tempatan dan antarabangsa, khususnya melalui platform Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Majlis turut menyaksikan 12 individu menerima Anugerah Kepimpinan PERDASAMA dan dua lagi menerima Anugerah Rakan Strategik PERDASAMA, yang disampaikan oleh Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Dalam ucapannya, Mohd Azamanizam berkata PERDASAMA merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi bumiputera yang dilantik sebagai panel penasihat kepada Jawatankuasa Penasihat Garis Panduan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Ini bukti kepercayaan terhadap keupayaan PERDASAMA dalam membawa suara dan kepentingan usahawan bumiputera ke peringkat dasar negara,” katanya.
Setakat 1 September lalu, PERDASAMA merekodkan keahlian sebanyak 27,480 syarikat bumiputera yang merangkumi lebih 50 sektor perniagaan dan industri di seluruh negara.