fb fb fb fb fb

Pekerja asing sah menurun 13%, kerajaan perketat kemasukan tenaga kerja luar

Jumlah pekerja asing sah di Malaysia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 319,432 orang atau 13 peratus sehingga 15 Oktober 2025/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Jumlah pekerja asing sah di Malaysia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 319,432 orang atau 13 peratus sehingga 15 Oktober 2025, susulan langkah kerajaan memperketat kemasukan tenaga kerja asing dalam sektor ekonomi negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata jumlah pekerja asing aktif yang direkodkan ketika ini ialah 2.132 juta orang, berbanding 2.452 juta orang pada tempoh sama tahun lalu.

0311 PAR PEKERJA ASING 2Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/BERNAMA

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor ekonomi negara. Pendirian KESUMA ini seiring dengan dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) yang menetapkan pengambilan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara pada tahun 2025.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), kerajaan telah menetapkan jumlah pekerja asing dikurangkan kepada 10 peratus pada tahun 2030 dan seterusnya 5 peratus menjelang tahun 2035 melalui pelaksanaan beberapa langkah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat, yang meminta penjelasan mengenai jumlah tenaga kerja asing mengikut sektor serta pendirian kerajaan dalam mengehadkan penglibatan tenaga kerja luar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mereka.

Berkaitan pendirian kementerian, KESUMA telah menghadkan penggajian pekerja asing kepada enam sektor formal sahaja, iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Sementara itu, bagi sektor tidak formal, hanya pembantu rumah asing sahaja yang dibenarkan untuk diambil bekerja setakat ini.

“Tujuan penetapan ini dibuat adalah untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan sebelum ditawarkan kepada pekerja asing,” tambahnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN