JOHOR BAHRU, 3 November - Sebanyak 448,057 akaun pengguna daripada 455,499 akaun atau kira-kira 98 peratus berjaya dipulihkan susulan pencemaran Sungai Johor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang, sehingga 7 malam tadi.
Jurucakap Ranhill SAJ memaklumkan Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi dengan 296,650 akaun pengguna telah dipulihkan, diikuti Kota Tinggi sebanyak 123,373 sementara Kulai pula 121,906.
"Sebanyak 7,442 akaun pengguna masih lagi terjejas, dengan daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 5,837 diikuti Kulai sebanyak 1,467 dan baki 138 di Kota Tinggi.
"Selain itu, usaha membekalkan bekalan air menerusi 43 lori tangki masih diteruskan bagi memastikan pengguna terus menerima bekalan sepanjang krisis pencemaran air mentah yang berlaku sejak Jumaat lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, operator air Johor itu menerusi hantaran di Facebook memberitahu sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pengguna juga disarankan untuk terus mendapatkan maklumat rasmi berkaitan gangguan bekalan air menerusi saluran rasmi aduan Ranhill SAJ di 1800887474, e-mel
Semalam, Bernama melaporkan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Johor berkemungkinan berdepan tindakan pendakwaan sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti terdapat pelanggaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
JAS memaklumkan hasil mesyuarat bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memutuskan tindakan perundangan akan diambil di bawah Enakmen PTG (Pelesenan) dan Akta SPAN yang berkenaan.
Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal kira-kira 400 NTU.
Beliau berkata kejadian berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik syarikat tempatan di kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor. - BERNAMA