
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Prasarana Malaysia Berhad menyasarkan penyertaan 1,000 pelajar dalam tempoh lima tahun, menerusi Program TVET Graduate Empowerment through Apprenticeship & Readiness (T-GEAR) sebagai langkah strategik memperkukuh masa depan industri pengangkutan awam negara.
- Menyasarkan 1,000 peserta dalam lima tahun untuk memperkukuh bekalan tenaga mahir sektor rel, bas dan keselamatan siber.
- Latihan berstruktur memberi kemahiran teknikal diiktiraf, pendedahan teknologi baharu dan modul Pengoperasian Bas Elektrik untuk mobiliti hijau.
- Kerjasama strategik industri dan institusi vokasional meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET serta menyokong Dasar TVET Negara 2030.
Sasaran itu dilihat signifikan dalam menangani keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor rel, bas dan keselamatan siber yang semakin berkembang seiring peralihan kepada teknologi mobiliti moden dan hijau.
Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr Harigaran Bharatham menerusi kenyataan berkata sasaran tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membina saluran bakat mampan bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
“Program ini bukan sahaja melatih pelajar dengan kemahiran teknikal yang diiktiraf, tetapi turut menyediakan pendedahan kepada teknologi baharu yang menjadi keutamaan dalam pembangunan pengangkutan awam,” katanya.
Bagi tahun 2026, seramai 251 pelajar dan graduan disasarkan menyertai program berkenaan, melibatkan lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma serta graduan universiti yang berminat membina kerjaya dalam bidang teknikal.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ts. Zulkernai Fauzi berkata, pendekatan latihan berasaskan industri seperti yang dilaksanakan melalui program T-GEAR mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET yang berkemahiran tinggi.
“Kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan adalah penting bagi memastikan kurikulum latihan sentiasa relevan dengan keperluan industri.
“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran secara praktikal di persekitaran kerja sebenar,” katanya.
Ketika ini, seramai 67 pelajar daripada 24 Kolej Vokasional telah memulakan latihan dengan penempatan di depot bas sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi mendapatkan pengalaman industri secara langsung dalam operasi sebenar pengangkutan awam.
Antara fokus utama program adalah modul Pengoperasian Bas Elektrik yang memberi pendedahan kepada teknologi mobiliti hijau selain latihan berstruktur merangkumi pembelajaran teori dan praktikal di tempat kerja.
Pelajar yang menamatkan program akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Sijil Latihan Industri Prasarana, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Program T-GEAR yang diperkenalkan pada 2025 itu turut menyokong aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh pembangunan sistem pengangkutan awam negara secara menyeluruh.