fb fb fb fb fb

PPVN beri tumpuan hasilkan pelbagai jenis vaksin

(FOTO HIASAN)

KOTA BHARU, 13 Ogos - Pusat Penyelidikan Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) akan turut memberi tumpuan menghasilkan pelbagai jenis vaksin penyakit lain selain vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata penubuhan Jawatankuasa Kecil Rangkaian Kerjasama Vaksin (VCN) telah bermesyuarat pada 7 Jun lalu yang diketuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti jenis vaksin yang akan dibangunkan.

Selain itu katanya, jawatankuasa turut memberi tumpuan kepada platform teknologi yang diguna pakai dan peluang kerjasama pemindahan teknologi bersama pelbagai pemain industri dari dalam dan luar negara.

(Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim)

Katanya selaras dengan penaiktarafan Malaysia Genome Vaccine Institute (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) diamanahkan untuk mentadbir urus penyelidikan dan pembangunan vaksin negara.

"Penumpuan kita adalah lebih kepada vaksin-vaksin yang membabitkan penyakit-penyakit tropika yang biasa ada dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

"Bagi pelan pembangunan vaksin ini ia sudah pun selesai dari segi dokumen, malah peruntukan-peruntukan tertentu juga sudah mula kita terima bagi membolehkan lebih banyak kelengkapan dilengkapkan di PPVN," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Min House Camp, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Tambah Amzad, terdapat dua fasa yang ditetapkan dalam pengeluaran vaksin iaitu jangka masa pendek selama setahun hingga lima tahun, manakala bagi jangka masa panjang pula mengambil masa di antara lima hingga 10 tahun.

Media Baharu