fb fb fb fb fb

Polisi pengadaptasian teknologi AI dalam medsos perlu dikaji

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Syarikat gergasi teknologi perlu mengkaji polisi berhubung pengadaptasian teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata fokus kajian, termasuk meneliti keperluan memberi pemakluman jika sesuatu kandungan menggunakan teknologi AI.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pengguna tidak mudah tertipu dengan sindiket penipuan yang menggunakan teknologi itu untuk memperdaya mangsa.

"Kandungan ini dihasilkan menggunakan teknologi AI supaya orang tidak mudah terpedaya. Saya harap gergasi teknologi seperti Meta, TikTok, Google dapat melakukan kajian yang segera dan melaksanakannya kerana ini merupakan hak cipta orang lain tetapi ada orang lain guna, pakai teknik suntingan AI dan ini tidak adil kepada pencipta kandungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ABU Digital Broadcasting Symposium 2024, di sini.

Tambah Teo, masyarakat sememangnya digalakkan untuk menggunakan teknologi baharu seperti AI, namun pada masa sama perlu berhati-hati atas risiko dan cabaran yang dibawa teknologi berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN