Polis siasat kes rumah disimbah cat merah di Taman Tunku Haminah

Tan Lee Ling, 53 tahun menunjuk kediamannya yang disimbah cat/Foto RTM

SUNGAI PETANI, 23 Mei – Seorang lelaki hidup dalam kebimbangan selepas kediamannya di Taman Tunku Haminah di sini disimbah cat merah, dipercayai angkara ahlong, dalam kejadian pukul 5 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Daerah Kuala Muda menjalankan siasatan untuk kenal pasti suspek yang menyimbah cat merah.
  • Dinding rumah dan dua kereta mewah dilaporkan disimbah cat merah, bersama satu nota ugutan ditinggalkan.
  • Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bertopi dan bertutup muka menyimbah cat sebelum meninggalkan nota ugutan.
  • Mangsa dakwa punca berkaitan hutang anak dengan ahlong; keluarga didakwa turut diganggu, poster ditampal dan video ugutan dihantar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Kejadian pukul 5 pagi itu, dinding kediaman mangsa serta dua kereta mewah miliknya dilaporkan terkena simbahan cat merah, selain satu nota ugutan dipercayai ditinggalkan suspek,” katanya.

Tan Lee Ling, 53 tahun berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu pada pukul 7 pagi ketika mahu keluar bekerja.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memakai topi dan pelitup muka datang ke rumah sebelum bertindak menyimbah cat serta meninggalkan nota ugutan,” katanya.

Tan yang menjalankan perniagaan kilang besi berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hutang anak sulungnya berusia 33 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian.

“Sejak lebih 10 tahun lalu, saya sudah beberapa kali melangsaikan hutang anak yang mencecah antara RM10,000 setiap kali, dengan jumlah keseluruhan antara RM300,000 hingga RM400,000.

“Bagaimanapun, saya hanya mengetahui anak kembali berhutang selepas kumpulan ahlong datang mencarinya bulan lalu,” katanya.

Beliau mendakwa kumpulan terbabit sebelum ini turut mengganggu ahli keluarga dan rakan selain menampal poster di kilangnya serta menghantar video ugutan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.