fb fb fb fb fb

Polis minta lelaki dakwa dagu terkoyak terkena 'benang' di Lebuhraya SUKE tampil buat laporan

Foto yang dimuat naik di laman X oleh @MuasRosdi menunjukkan dagunya yang cedera akibat terkena benang yang melintang jalan di Lebuhraya SUKE

KUALA LUMPUR,14 Mei- Individu yang mendakwa cedera di dagu akibat ‘terkena’ benang yang dipasang secara melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai, dimohon untuk tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengesan satu hantaran berhubung kejadian tersebut yang tular di media sosial semalam.

"Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa dagunya terkoyak akibat terkena benang yang melintang di SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Tol Bukit Teratai kira-kira 6.30 petang, semalam.

"Pada masa sama, pihak Polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali lebuh raya SUKE untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan tersebut.

Mohd Azam berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian dan meminta kerjasama mangsa dan saksi untuk tampil membuat laporan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang insiden berkaitan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE