SERDANG, 1 April- Identiti lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan petang semalam dikenal pasti sebagai warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan berkata mangsa yang ditemukan lemas ialah anak sulung pasangan itu yang berusia 10, manakala yang masih hilang ialah ibunya berusia 38 tahun dan adik perempuan bongsunya, empat tahun.
Katanya, mangsa yang selamat ialah bapanya, 40, dan seorang lagi adik lelakinya yang berusia sembilan tahun.
“Menurut bapanya, ketika kejadian mereka sekeluarga pergi ke kawasan berkenaan untuk menjala ikan bagi mendapatkan pendapatan tambahan namun pada kira-kira 5.00 petang, datang air deras dari saliran monsun berhampiran menyebabkan mereka dihanyutkan hingga ke anak sungai yang berkedalaman 1.2 meter.
“Bagaimanapun, lelaki itu dapat menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pertolongan manakala anak keduanya sempat menyelamatkan diri dengan naik ke sebelah kanan longkang berhampiran sebelum ditemukan oleh orang awam pada 5.30 petang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Anbalagan berkata mayat anak sulung pasangan itu pula ditemukan satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.
Siasatan awal polis mendapati lelaki warga Indonesia itu sudah bermastautin di Malaysia hampir 10 tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang paip untuk menyara hidup.
"Lelaki itu memaklumkan sudah beberapa kali ke lokasi kejadian untuk memancing dan hasil tangkapan akan dijual bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan," katanya.
Anbalagan juga berkata lokasi kejadian bukan tempat memancing namun ada individu yang datang ke lokasi itu bagi menangkap ikan untuk dijual.