fb fb fb fb fb

Polis Kelantan pantau pematuhan SOP di bazar Ramadan

KUBANG KERIAN, 27 Mac - Polis Kelantan akan menempatkan pegawai dan anggotanya di bazar Ramadan di seluruh negeri itu bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ke arah itu pihaknya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak terlibat yang menganjurkan bazar Ramadan di setiap daerah.

Pemantauan akan dibuat oleh pihak polis yang akan memakai pakaian seragam dan juga berpakaian biasa.

"Suka saya nasihatkan terutama kepada penganjur bazar Ramadan supaya memaklumkan kepada PDRM untuk tugas pemantauan kita, kadang-kadang bazar Ramadan yang dibuat (dianjurkan) kerajaan negeri ini memang kita tahu dan ada bazar Ramadan yang dibuat (dianjurkan) oleh kumpulan-kumpulan yang kecil, dalam kita nak meniaga dan tingkatkan pendapatan jangan lupa prosedur operasi standard (SOP) itu perlu kita patuhi, SOP tetap dijaga terutamanya penjarakanlah, kalau nampak padat beratur beli kuih itu pandai-pandailah jaga jarak sendiri, jangan pula rapat-rapat lagi dan sebagainya," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Kubang Kerian, di sini hari ini.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat merasmikan Balai Polis Kubang Kerian)

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pembangunan Kerjaya) Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Nurulhuda Mohd Salleh dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Mengulas lanjut katanya, pemantauan polis ini seiring dengan hasrat kerajaan bagi memastikan semua rakyat patuh pada SOP serta dapat menjalani ibadah puasa dengan selamat.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Logistik Bukit Aman menyalurkan peruntukan RM600,000, masing-masing RM300,000 untuk membaik pulih pagar keselamatan serta pejabat pertanyaan dan RM300,000 lagi untuk membaik pulih pejabat, Unit Anjing Pengesan K9 PDRM Kelantan yang terletak di Balai Polis Kubang Kerian.

Media Baharu