fb fb fb fb fb

PM Vietnam diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra

Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 Mei- Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Ketibaan beliau pada pukul 2.30 petang disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai simbol penghormatan.

Beliau turut diiringi oleh isterinya Le Thi Bich Tran, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Vietnam.

Chinh kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat).

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Selepas upacara sambutan itu, Chinh menandatangani buku tetamu dan meneruskan program dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri.

Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh baharu, pelancongan, dan teknologi digital.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan yang substantif mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai satu platform yang sepadu dan responsif untuk menangani isu bersama, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin meningkat.

Lawatan rasmi itu, yang berlangsung menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur, menyerlahkan hubungan kukuh antara Malaysia dengan Vietnam.

Hubungan antara kedua-dua negara telah dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada November 2024.

Tahun lepas, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global, dan keempat terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah RM83.11 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion, dan import dari Vietnam ke Malaysia bernilai RM29.25 bilion.

Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan terkumpul kini melebihi AS$13 bilion.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM