fb fb fb fb fb

PM tiba di Kazakhstan, mulakan lawatan rasmi sulung

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Astana untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Kazakhstan selama dua hari bermula hari ini / Foto JPM

ASTANA, 16 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Astana untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Kazakhstan selama dua hari bermula hari ini.

Selain memperkukuh hubungan sedia ada, siri lawatan rasminya ke Asia Tengah itu diyakini mampu mewujudkan kerjasama lebih strategik dengan peluang signifikan yang boleh dimanfaatkan kedua-dua negara.

Ketibaan delegasi negara disambut Perdana Menteri Kazakhstan, Olzhas Bektenov, Timbalan Menteri Luar Negeri Kazakhstan, Alibek Bakaye dan Datuk Bandar Astana, Zhenis Kassymbek.

Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Setiba di Astana, Perdana Menteri dan delegasi dibawa melawat Masjid Besar Astana, masjid terbesar di Asia Tengah dan antara masjid terbesar di dunia yang berfungsi sebagai pusat keagamaan penting di bandar raya itu.

Beliau bersama delegasi dibawa melawat sekitar kawasan masjid serta mendengar taklimat daripada Ketua Mufti,  Nauryzbai Taganuly Optenov berkaitan program dan aktiviti yang dijalankan.

Mufti Nauryzbai turut menunjukkan keindahan seni bina masjid yang mempunyai kubah terbesar di dunia itu.

Selepas melawat Masjid Besar Astana, Perdana Menteri menghadiri majlis sambutan rasmi di Istana Akorda disusuli pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Delegasi kemudian akan diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang akan dihoskan Tokayev.

Ini merupakan kunjungan rasmi kali pertama Anwar ke Kazakhstan selepas kali terakhir delegasi negara tiba pada tahun 2014.

Lawatan negara dibuat atas undangan khas Presiden Kassym-Jomart Tokayev, suatu petanda baik kepada sinergi hubungan sedia ada sejak terjalin pada tahun 1992.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN