fb fb fb fb fb

PM sumbang 3,000 kotak Rahmah, buat golongan memerlukan di Tambun

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim

IPOH, 3 April- Sebanyak 3,000 kotak Rahmah akan diagih kepada golongan memerlukan dalam kawasan Parlimen Tambun.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata bantuan yang disampaikan itu tanda keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap golongan kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi menjelang Syawal.

Menurutnya, bantuan itu akan disampaikan melalui ketua kampung kawasan masing-masing.

"Saya fikir ini juga merupakan satu amanat dan juga penegasan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita terus turun ke lapangan dan menyantuni serta melihat sendiri keadaan. Jika kita hanya ikut perkembangan melalui media sosial semata-mata, itu tidak mencukupi."

"Kita harus turun ke kawasan, melihat dan bersama dengan masyarakat setempat supaya kita dapat menyelami permasalahan mereka dan seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul di kawasan itu," kata Muhammad Kamil kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Anak-Anak Yatim dan golongan asnaf di Pusat Jagaan Yayasan Amanah An Nur Maisarah, Chemor, malam tadi.

Tambahnya, masyarakat di kawasan itu diseru untuk terus menyalurkan sebarang permasalahan kepada Pusat Khidmat Parlimen supaya ia dapat diselesaikan dengan sewajarnya. 

Pada majlis tersebut, beliau turut menyantuni ketua-ketua kampung dalam kawasan Parlimen Tambun dan menyerahkan bantuan kotak rahmah serta sumbangan wang tunai Aidilfitri. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM