
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Hari Usahawan Cilik yang diadakan di sebuah taska di Subang Jaya, Selangor hari ini memberi pengalaman bermakna dan menyemai minat berniaga dalam kalangan anak-anak sejak kecil.
- Seorang anak Taska As Sakeenah menghantar jemputan kepada Perdana Menteri untuk hadir Hari Usahawan Cilik.
- Perdana Menteri berada di Brunei mengetuai delegasi dan tidak dapat hadir.
- Beliau menghantar Raimi Ab Rahim mewakili, menyampaikan sumbangan dan salam mesra kepada peserta.
- Pesanan supaya anak-anak menabung jika mendapat untung serta doa agar mereka rajin, bantu keluarga dan bermanfaat kepada masyarakat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata seorang anak dari Taska As Sakeenah menghantar mesej mengundang beliau ke program Hari Usahawan Cilik itu.
“Memang teringin nak hadir beri sokongan, tapi saya di Brunei Darussalam mengetuai delegasi negara.
“Tidak mahu hampakan anak-anak, “Uncle Anwar” hantar pegawai, saudara Raimi Ab Rahim untuk mewakili bagi sampaikan sedikit sumbangan dan salam mesra kepada semua.
“Semoga Hari Usahawan Cilik ini memberi pengalaman bermakna dan menyemai minat berniaga dalam kalangan anak-anak sejak kecil. Kalau dapat untung, jangan lupa menabung,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut mendoakan semua anak-anak membesar menjadi insan yang rajin berusaha, sentiasa membantu keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat.