
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan kepada 700 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dari 47 buah sekolah terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Setiap pelajar menerima RM500, peruntukan RM350,000 disalurkan melalui Yayasan ERM.
- Sumbangan bertujuan meringankan beban keluarga dan memenuhi keperluan persekolahan para pelajar.
- Perdana Menteri menegaskan kecemerlangan akademik mesti disertai sahsiah baik, hormati guru dan sayangi ibu bapa.
- Majlis meraikan ulang tahun pelajar dan menanam mesej keamanan, kasih sayang serta harapan bagi masa depan kanak-kanak.
Setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM500; menjadikan peruntukan berjumlah RM350,000 yang disalurkan menerusi sumbangan Yayasan ERM.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta memenuhi keperluan persekolahan para pelajar.
Datuk Seri Anwar menegaskan kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya perlu disertai pembentukan sahsiah yang baik, termasuk menghormati guru serta menyayangi ibu bapa.
Beliau turut menitipkan nasihat agar para pelajar tekun menuntut ilmu serta menghindari gejala negatif seperti perbuatan buli.
“Kita belajar untuk menjadi insan yang baik dan berilmu. Tidak ada gunanya menjadi pandai jika kita pergi ke sekolah hanya untuk mengganggu, membuli atau mencederakan rakan. Perbuatan seperti itu tidak baik.
“Bolehkah semua berjanji dengan Atuk? Insya-Allah, kita akan belajar dengan bersungguh-sungguh, membaca buku setiap hari, menghormati guru-guru, menyayangi ibu bapa serta pulang mencium tangan mereka dan memohon doa agar menjadi insan yang baik. Semoga kita sentiasa mencintai keluarga dan membesar sebagai manusia yang berguna kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan (A Celebration of Life and Peace) oleh Yayasan ERM di sini yang turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran pelajar yang lahir antara 15 Julai hingga 15 Ogos bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran pengasas yayasan itu, Xin’er.
Sementara itu, Xin’er berkata program itu bukan sahaja meraikan ulang tahun kelahiran para pelajar, malah membawa mesej mengenai kepentingan keamanan, kasih sayang dan harapan terhadap masa depan setiap kanak-kanak.
“Ini memberi kegembiraan kepada kanak-kanak yang kurang berpeluang meraikan hari lahir mereka, termasuk mereka yang berdepan kesukaran hidup atau masalah kesihatan.
“Sambutan tersebut diharap dapat memberikan pengalaman bermakna kepada setiap kanak-kanak serta menyemai nilai keamanan, kasih sayang dan kebahagiaan dalam kehidupan mereka,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Datuk Azman ketika ditemui pemberita berkata, Pejabat Perdana Menteri menyambut baik usaha yayasan itu dalam membantu kebajikan murid B40 di Wilayah Persekutuan, sekali gus menyokong program seumpama itu yang memberi manfaat kepada masyarakat.