
SHAH ALAM, 15 Julai – Kerajaan negeri Selangor akan memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar susulan insiden tikaman membabitkan pelajar di Banting, Kuala Langat, baru baru ini.
- Jabatan Pendidikan Negeri akan membentangkan laporan lengkap pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor untuk tindakan susulan.
- Isu kesihatan mental perlu diberi perhatian serius kerana menyumbang kepada buli dan perlakuan jenayah di sekolah.
- Kerajaan negeri akan membantu melalui jaringan sedia ada bagi mempertingkat kesedaran simptom dan kesan kesihatan mental kepada anak muda.
- Pengumuman dibuat selepas pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Jabatan Pendidikan Negeri akan membentangkan laporan lengkap mengenai insiden itu pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, (MTES) dalam masaterdekat sebelum tindakan susulan diputuskan.
Tegas beliau, isu kesihatan mental perlu diberi perhatian serius kerana boleh menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejadian buli dan perlakuan jenayah di sekolah.
“Kementerian Pendidikan ataupun JPN akan membentangkan dalam laporan MTES terbaru dalam masa terdekat untuk mengambil langkah-langkah susulan supaya kita dapat tangani isu kesihatan mental yang turut menyebabkan masalah seperti buli ataupun tindakan-tindakan criminal (jenayah) yang tidak diingini.
“Kita akan tunggu kertas sokongan daripada Jabatan Pendidikan dan kerajaan negeri sedia membantu dengan jaringan yang kita ada sebelum ini khusus untuk mempertingkatkan kesedaran penduduk termasuk anak-anak muda tentang simptom dan kesan daripada kesihatan mental ini, ” tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini, hari ini.