Pasaran modal global: Malaysia pilihan kedua paling menarik selepas AS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Malaysia muncul pilihan kedua paling menarik bagi pasaran modal global selepas Amerika Syarikat (AS), disokong prospek ekonomi domestik yang positif, dasar monetari yang stabil serta aliran modal yang kekal berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia tahan risiko dan kekal kukuh walau ketidaktentuan global meningkat, termasuk risiko dari konflik di Asia Barat.
  • Unjuran positif FBM KLCI dijangka mencecah 1,900 mata menjelang akhir tahun.
  • BNM dianggap tepat mengekalkan OPR 2.75%; ringgit stabil dan negara mendapat manfaat daripada harga minyak Brent sekitar AS$80 hingga AS$90.

Bekas ahli ekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB), Dr. Sailesh Kumar Jha berkata, kedudukan Malaysia kekal kukuh walaupun ketidaktentuan pasaran kewangan global dijangka meningkat selain potensi berlaku aktiviti jualan besar-besaran dalam beberapa minggu akan datang.

Jelasnya, kelebihan Malaysia di rantau ini lebih menyerlah berikutan daya tahan yang tinggi terhadap risiko khusus yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Beliau turut menetapkan unjuran amat positif bagi indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang dijangka mampu mencecah paras 1,900 mata menjelang akhir tahun.

Tambahnya, ringgit pula diunjur diniagakan dalam lingkungan RM3.85 hingga RM4.10 berbanding dolar AS, dengan kemungkinan mencecah RM4.14 hingga RM4.15 sekiranya dolar AS semakin mengukuh.

“Dari segi pasaran minyak global, gangguan yang berlaku secara berselang-seli di Selat Hormuz dijangka berterusan. Oleh itu, harga minyak mentah Brent berkemungkinan kekal pada paras AS$80 hingga AS$90 setong untuk tempoh yang agak lama.

“Malaysia sebenarnya merupakan antara negara yang mendapat manfaat bersih daripada harga minyak pada paras tersebut,” katanya.

Mengenai dasar monetari, Dr. Sailesh berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan tepat dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Beliau menjangkakan kadar itu kekal hingga penghujung tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.