Sumber Sudan jadi punca perang berlarutan

Foto AFP

GENEVA, 15 Julai – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kawalan terhadap sumber semula jadi Sudan oleh pasukan yang bertentangan menjadi antara faktor yang terus menghidupkan perang saudara di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi perang membolehkan kedua-dua pihak membiayai operasi ketenteraan mereka.
  • Kedua-dua pihak bergantung kepada hasil sumber yang dikuasai, menjadikan konflik semakin berlarutan.
  • Perang mengorbankan sehingga 200,000 nyawa dan menyebabkan lebih 11 juta orang kehilangan tempat tinggal.
  • Perdagangan getah arab terganggu; gudang dijarah, bekalan terpecah dan dipercayai diseludup keluar negara.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) berkata, ekonomi perang yang terbentuk akibat eksploitasi wilayah, laluan perdagangan dan komoditi negara itu membolehkan kedua-dua pihak membiayai operasi ketenteraan masing-masing.

Menurut OHCHR, konflik antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang tercetus sejak April 2023 kini semakin berlarutan kerana kedua-dua pihak bergantung kepada hasil daripada sumber yang dikuasai.

Peperangan itu dianggarkan telah meragut sehingga 200,000 nyawa dan menyebabkan lebih 11 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, selain mencetuskan krisis kebuluran serta kebuluran melampau di beberapa kawasan.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, kekayaan sumber asli Sudan sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat, bukannya digunakan untuk memanjangkan konflik.

“Apa yang berlaku hari ini amat mengecewakan. Kekayaan ini hanya menjejaskan hak asasi manusia dan mendorong konflik yang membawa penderitaan besar,” katanya.

Beliau menggesa ekonomi perang itu dihentikan, selain meminta masyarakat antarabangsa memberi perhatian lebih terhadap komoditi dan laluan perdagangan yang menyokong kelangsungan konflik.

Antara sektor yang diberi perhatian dalam laporan OHCHR ialah perdagangan getah arab bahan penting yang digunakan dalam pelbagai produk seperti minuman ringan, kosmetik dan farmaseutikal.

Sebelum perang tercetus, Sudan membekalkan antara 70 hingga 80 peratus eksport getah arab mentah dunia, menjadikannya salah satu komoditi utama negara itu.

Namun, laporan itu mendapati perdagangan getah arab kini terjejas akibat konflik apabila penduduk yang bergantung kepada industri berkenaan berdepan rompakan, ugutan, penahanan sewenang-wenangnya serta ancaman daripada pihak bertelagah dan sekutunya.

OHCHR turut melaporkan gudang dan pusat perdagangan Getah Arab di El-Nuhud, negeri Kordofan Barat, dilaporkan dijarah RSF pada Mei 2025 ketika stok sedia untuk dieksport.

Perdagangan komoditi itu kini berpecah mengikut kawasan kawalan pihak bersenjata, dengan sebahagian hasil dari kawasan dikuasai tentera dihantar melalui Pelabuhan Sudan, manakala hasil dari kawasan kawalan RSF dipercayai diseludup ke negara jiran.

Turk menggesa syarikat dan negara yang terlibat dalam perdagangan komoditi Sudan memastikan rantaian bekalan mereka tidak menyumbang kepada konflik atau pelanggaran hak asasi manusia.

“Syarikat tidak boleh meneruskan urusan seperti biasa apabila mendapatkan sumber daripada rantaian bekalan yang terjejas akibat konflik,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.