PUTRAJAYA, 28 Julai - Mesyuarat khas Thailand-Kemboja bagi membincangkan isu gencatan senjata antara kedua-dua negara dimulakan pada pukul 3.15 petang tadi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Mesyuarat khas yang mempertemukan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi.
Hadir sama Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar memaklumkan mesyuarat khas tersebut diadakan susulan ketegangan yang berlaku di sempadan Thailand-Kemboja.
Fokus mesyuarat bagi melaksanakan gencatan senjata serta-merta.
Datuk Seri Anwar sebelum ini menyuarakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh negara-negara ASEAN untuk Malaysia yang memainkan peranan sebagai pengantara damai.
Kedua-dua negara jiran itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand-Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu berikutan kejadian pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis lalu dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.
BERITA BERKAITAN
- Gencatan senjata jadi fokus mesyuarat khas Thailand-Kemboja
- Pemimpin Thailand, Kemboja dijadual adakan pertemuan di Kuala Lumpur esok
- Thailand, Kemboja pertimbang gencatan senjata atas desakan Trump
- Konflik berdarah Thailand-Kemboja masih berlarutan
- Malaysia ulangi gesaan gencatan senjata dalam konflik Thailand - Kemboja