ALOR SETAR, 28 Julai -Dua syarikat pengendali e-hailing telah diberi amaran tegas oleh Kementerian Pengangkutan susulan kegagalan mematuhi syarat-syarat perkhidmatan yang ditetapkan, termasuk tidak memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah.
Syarikat terbabit ialah Aist Malaysia Sdn. Bhd. (MAXIM) dan ID Application Sdn. Bhd. (InDrive).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kedua-dua syarikat itu kini ditempatkan bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang ditetapkan.
Jika didapati masih ingkar selepas tempoh ini, lesen operasi syarikat berkenaan boleh digantung atau dibatalkan.
"Kita lihat mereka dalam langkah penambahbaikkan. Jadi biasanya kesalahan pertama kita akan beri peluang untuk menambah baik dan memperbetulkan. Jadi jika mereka masih langar syarat-syarat itu, baru kita gantung lesen ataupun kita batalkan lesen mereka," katanya kepada media selepas merasmikan perkhidmatan Bas.My Kota Setar, di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa kementeriannya memandang serius kesalahan operasi tanpa EVP sah.
Pada masa sama mengambil kira implikasi terhadap pemandu dan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan syarikat terbabit.