fb fb fb fb fb

Tuisyen Rakyat RISDA bantu lahirkan lebih ramai pelajar cemerlang SPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Program Tuisyen Rakyat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Seramai 884 pelajar anak pekebun kecil mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, berbanding 654 pelajar pada tahun sebelumnya.

Ia sekali gus, membuktikan keberkesanan Program Tuisyen Rakyat RISDA dalam membantu memperkasakan pendidikan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.51 juta bagi tahun ini dan memberi manfaat kepada 3,015 pelajar di seluruh negara.

Ia membabitkan 201 pusat tuisyen dan 1,005 tenaga pengajar bagi lima subjek teras.

“Program ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bahawa tiada seorang pun anak desa harus tercicir hanya kerana lokasi dan latar belakang. Ilmu adalah hak semua, bukan milik segelintir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sejak mula dilaksanakan pada tahun 2007, lebih 35,000 pelajar telah mendapat manfaat menerusi program itu, dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM31.03 juta.

Beliau berkata, program berfokus dan berimpak besar itu akan terus diperkasakan bagi memastikan bimbingan intensif dan menyeluruh dapat diberikan kepada semua peserta.

“Saya percaya dalam setiap anak desa tersembunyi potensi luar biasa. Bila diberi ruang, dorongan dan sistem sokongan, mereka bukan hanya mampu cemerlang – malah pulang ke kampung halaman dan memimpin perubahan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM300 kepada semua pelajar cemerlang program tersebut sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN